Terdapat banyak ruang dan peluang bagi kita untuk rebut sempena bulan Ramadan kali ini. Antara kelebihan bulan Ramadan yang disebutkan di dalam hadis adalah seperti berikut:
Dari Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami pada hari terakhir bulan Sya'aban:
"Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang dalam bulan itu tedapat satu malam (Lailatulqadar) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malam hari (berterawih) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu pada bulan itu adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.
Bulan itu adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan simpati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka pemberiannya itu merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun daripada ganjarannya. Para sahabat r.an.hum lalu berkata,"Bukanlah setiap daripada kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda,"Allah memberikan pahala itu kepada sesiapa saja yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka."
Bulan itu adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya merupakan rahmat, pada pertengahannya merupakan keampunan dan pada akhirnya merupakan kelepasan daripada neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah dan akan dilepaskan daripada azab api neraka.
Perbanyakkan pada bulan ini empat perkara. Dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu perlukan. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain daripada Allah (La ilah ha illa Allah) dan kamu boleh memohon istighfar daripadaNya. Manakala dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukan ialah memohon syurga daripada Allah dan meminta perlindungan daripada api neraka.
Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa, maka Allah akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.
(Riwayat Ibnu Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)
Wallahua'lam.
0 komen:
Post a Comment